Monday, June 9, 2008

Isu tudung: Turki bakal bergolak





ANKARA 7 Jun – Parti memerintah Turki yang mengadakan mesyuarat tergempar semalam menolak keputusan Mahkamah Perlembagaan yang membatalkan undang-undang membenarkan pemakaian tudung di universiti.
Mahkamah Perlembagaan pada Khamis lalu membatalkan undang-undang yang diluluskan oleh Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) bagi membenarkan pemakaian tudung di universiti dengan alasan ia bertentangan dengan sistem sekular negara.
Naib Presiden AKP, Dengir Mir Mehmet Firat berkata, keputusan mahkamah itu ‘mencabul’ pemisahan kuasa apabila mengetepikan undi majoriti di Parlimen yang meluluskan undang-undang itu.
“Keputusan ini akan mencetuskan debat berpanjangan,” katanya selepas mesyuarat parti memerintah selama enam jam.
Ekoran keputusan mahkamah itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Eerdogan telah memendekkan lawatannya ke Istanbul dan kembali ke Ankara bagi mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Menurut Dengir, Recep akan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen AKP berhubung isu itu pada Selasa ini.
Recep turut membatalkan lawatan ke Switzerland untuk menyaksikan perlawanan pertama Turki menentang Portugal pada Euro 2008.
Menggunakan alasan AKP meluluskan undang-undang tersebut, Ketua Pendakwa Raya Turki telah meminta Mahkamah Perlembagaan pada Mac lalu mengharamkan parti berkenaan kerana cuba memperkenalkan pentadbiran Islam.
Laporan media menyatakan sebahagian anggota parti mahukan Recep membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya mengejut berikutan keputusan mahkamah itu.
Keputusan mahkamah itu juga menjadi ancaman kerana ia menguatkan kedudukan pendakwa raya yang berhasrat mengharamkan AKP dan melarang 71 pegawai parti termasuk Recep dan Presiden Abdullah Gul daripada terbabit dalam politik.
Keputusan pembatalan AKP dan larangan tersebut dijangka ditentukan tahun ini.
“Disebabkan mahkamah melihat pindaan membabitkan tudung melanggar prinsip asas republik, ia akan memberikan hukuman teruk kepada parti yang bertanggungjawab memperkenalkan undang-undang itu.
“Keputusan untuk mengharamkan AKP tidak dapat dielak,” ulas akhbar harian Vatan.
– AFP

No comments: